Lambang Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dan telah dilukis oleh Pendeta Za'ba di Singapura. Lambang Gayong asal terdiri daripada seekor naga sahaja. Pada lambang Gayong terdapat perkara-perkara berikut:
Bulan bintang di puncak dunia - melambangkan agama Islam menjadi teras persilatan ini.
Bejana air - ia berkaitan dengan falsafah Gayong yang intipatinya membawa erti bersatu-padu dalam menegakkan yang hak.
Seekor naga - ia sebagai tanda/simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Dato' Meor Abdul Rahman. Naga yang melingkungi dunia yang kepalanya hampir bercantum dengan ekornya itu melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal di seluruh dunia. Lambang dua naga dicipta semasa hendak mendaftarkan PSSGM sebagai mengenang jasa-jasa Meor Abdul Aziz, kekanda Mahaguru Meor Abdul Rahman, mengembangkan Seni Gayong di negeri-negeri di bahagian utara tanah air. Walau bagaimanapun, penggunaan lambang dua naga ini tidak berapa dipersetujui oleh Mahaguru Meor Abdul Rahman. Menurut firasat beliau, penggunaan lambang naga berjuang ini dikhuatiri akan mendatangkan akibat yang kurang baik.
Keris bersilang - melambangkan Semangat Tuah dan Semangat Jebat. Pada zaman keagungan Kesultanan Melayu Melaka, terdapat dua orang laksamana yang gagah berani iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh dua orang Laksamana Melaka tersebut.
Pedang Zulfakar - melambangkan kepahlawanan sahabat-sahabat Rasulullah sewaktu menegakkan syiar Islam di zaman Jahiliah.(Dalam lambang baru digambarkan dalam bentuk sebilah parang).
Selepang Kebesaran Gayong - melambangkan Silat Seni Gayong adalah bersendikan adat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan